Wednesday, July 8, 2009

Muqaddimah Taujihat : GENERASI DAKWAH.......pelajaran @ dakwah...?

Dan hendaklah kamu menjadi segolongan orang (ummat ) yang menyeru kepada Allah swt yang mengajak berbuat ma”ruf dan mencegah daripada berbuat mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya “ Surah Ali Imran ayat 104.


“ Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu daripada ( masuk ke dalam ) neraka...” Surah At-Tahrim ayat 6.


Kita dapati ramai dikalangan anak-anak muslim generasi kini kurang prihatin dengan keadaan masyarakat khususnya golongan remaja. Tatkala mereka lebih mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah pemikiran Barat yang terus mencengkam mentaliti golongan muda. Islam dianggap satu peraturan yang menghadkan kebebasan mereka, sedangkan orang muda merupakan tunggak kepimpinan negara di masa hadapan.


Menuntut ilmu dari segenap segi oleh semua golongan amat penting untuk menbentuk organisasi yang terus bermatlamatkan kepada yang sebenar iaitu Islam. Sekiranya tiada bekalan untuk dibawa semasa musafir ada kemungkinan tersekat di tengah jalan. Mungkin perumpamaan ini boleh kita istilahkan kepada mereka yang ingin meneruskan tugas risalah junjungan Rasulullah saw. Adapun semangat ini perlu di terapkan dari peringkat awal lagi.


Namun pada hakikatnya, Allah swt telah memberi peluang kepada kita menjadi ummat Nabi Muhammad saw dan kita perlu tegas serta berani untuk terus berhadapan dengan golongan-golongan yang masih tidak menerima Islam sebagai satu sistem kehidupan. Strategi dakwah perlu diperbetulkan oleh setiap daie dari peringkat awal lagi. Kata-kata ini sering diutarakan “.. aku muda lagi, mana ada ilmu nak bagi ilmu kat orang lain.. kadang-kadang terkeluar juga “... aku tak layak nak bagi ilmu kat orang..” . Lebih dahsyat pada itu “.. aku bukannya warak sangat nak bagi nasihat kat orang...”. Jika di kalangan pelajar sekolah pula, “... aku bukan budak Badan Dakwah, nak buat kerja-kerja baik ni..”. Persoalannya, sampai bila dialog ini akan di gunakan ? Siapa lagi yang nak buat kerje mulia ini? Bila lagi nak guna ilmu yang ada? Sampai bila kita sanggup melihat generasi remaja terus hanyut dengan permainan dunia?


Sabda Rasulullah saw ada menyebut mafhumnya, “.. sampaikanlah (peringatan) itu walaupun satu ayat..” . Walaupun kita muda, tiada strategi untuk menyampaikan dakwah Islam tetapi tanggungjawab perlu di laksanakan sebagai hamba Allah. Setiap manusia yang dijadikan di muka bumi Allah ini di taklifkan sebagai khalifah yang bertanggungjawab memimpin dunia. Pimpinan dan peringatan yang paling baik ialah kepada diri sendiri. Dakwah kepada diri sendiri adalah dakwah secara tidak langsung, kemudian kepada keluarga dan seterusnya kepada masyarakat.


Matlamat Islam kepada “ Amar ma’ruf nahi mungkar” bukanlah satu tugas yang dipikul di atas seseorang individu, bahkan ia memerlukan satu gerakan mahupun organisasi yang jelas untuk membentuk biah yamg diimpikan. Seperti maksud Firman Allah swt dalam Surah Ali-Imran ayat 104 :“ & hendaklah ada diantara kamu, satu golongan yang menyeru kepada kebaikan dan yang menyuruh kepada ma’ruf dan yang mencegah perkara mungkar ( dilarang ) & mereka itulah orang-orang yang beruntung.” Apabila sesuatu kebaikan yang dilakukan itu secara beramai-ramai ilmu yang berkurang dapat ditampung oleh ahli kumpulan, kerja-kerja yang berat dipikul bersama, idea-idea yang bernas dapat dicantum dan dapat mempereratkan ukhwah islamiyyah secara tidak langsung. Tiadalah istilah apabila melakukan kerja-kerja dakwah ataupun kebaikan mengganggu pelajaran, pencarian ilmu mahupun hal-hal duniawi selagi konsep Islam masih di guna pakai.


Peranan ini penting bagi generasi muda memahami tiada yang susah untuk lakukan kerja-kerja dakwah yang mulia, ini kerana jaminan yang Allah swt berikan kepada hamba-hambanya adalah syurga Allah. Maksud Firman Allah swt dari Surah Al-Bayyinah ayat 7 “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh mereka itu adalah sebaik-baik makhluk”. Barangsiapa yang melibatkan diri dalam gerak kerja dakwah yang berbentuk umum mahupun khusus ini, sesungguhnya ia bakal memperolehi saham dan ganjaran yang tidak terhingga di akhirat kelak.


Kejayaan semanis madu memerlukan pengorbanan sepahit hempedu.. Ilmu boleh di cari dan di terapkan dalam kehidupan. Tiada had bagi mereka yang ingin terus menuntut ilmu. Maksud Sabda Rasulullah saw : “ Tuntutlah ilmu itu dari dalam buaian hingga ke liang lahad”.. Tuntutan mencari lmu itu adalah pelengkap dan wasilah kepada kerja dakwah kerana kerja yang baik memerlukan orang yang berilmu. Jika seseorang itu menganggap bahawa kerja dakwah yang dilakukan ketika masa muda ataupun ketika belajar akan menjejaskan prestasi pelajarannya, itu adalah tanggapan yang salah. Terdapat juga yang tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti dan yang lebih malang lagi natijahnya lebih teruk dari mereka yang aktif. Setiap kejayaan dan kegagalan adalah kurniaan Allah kepada hambaNya melalui amalannya. Sekiranya pencapaian kurang memuaskan, ia belum boleh diistilahkan sebagai gagal, tetapi kejayaan belum tiba lagi. Allah tidak akan memungkiri janjiNya terutama kepada hambaNya yang dekat kepadaNya. Istilah yang selalu dimainkan oleh para daie ialah “pelajaran nombor satu tetapi kerja dakwah bukan nombor dua”.


Nabi Muhammad saw ada menyebut di dalam satu hadis bahawa satu golongan yang mendokong syariat Islam yang sentiasa bertapak dan tidak akan luput di telan zaman hingga ke hari Qiamat. Islam itu tidak lemah tetapi penganutnya yang semakin lemah kerana lalai dan meninggalkan ajarannya, tidak mahu menolong saudara seagamanya. Semua ini adalah berpunca dari sikap individu itu sendiri.


Akhirnya, adakah amalan kita sudah cukup untuk dibawa ke sana? Allah tidak akan tanya adakah kita berjaya atau tidak dalam dakwah tetapi tuhan Allah akan bertanya adakah kamu laksanakan atau tidak kerja dakwah itu!!!. Manusia semuanya ingin pergi ke garisan yang sebenar, thoriqnya telah tersedia, hanya hayunan kaki mahu ke kiri atau ke kanan.. jadilah golongan yang amat di harap-harapkan oleh Islam.

No comments:

Post a Comment