Saturday, December 10, 2011

ILMAM PAHANG BAKAL DI TERAJU PIMPINAN BARU


Assalamualaikum semua.

Admin memohon maaf di atas kelemahan dan kekurangan selama mengendalikan blog rasmi ILMAM Pahang. Ini adalah kerana kesibukan tugas dan admin terpaksa juga mengendalikan beberapa blog rasmi yang lain.

Admin mengharapkan agar ijtima' tergempar ILMAM yang bakal di adakan pad awal 2012 nanti mendapat sambutan luar jangka dari ahli-ahli ILMAM Pahang berbanding ijtima' sebelum-sebelum ini.

Selain itu, admin mengharapkan agar semua ahli ILMAM Pahang dapat memberikan komitmen membantu pimpinan dalam menggerakkan aktiviti yang dirancang dan dijalankan nanti.

Nantikan IJTIMA' ILMAM Pahang awal 2012 nanti insya'Allah.

Tuesday, April 5, 2011

ILMAM Menuntut Syarat Baru Untuk Ke Universiti AL-Azhar Dihapuskan

"logo ilmam3Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) berpandangan bahawa syarat baru yang didakwa dikenakan oleh universiti Al-Azhar sebagai satu propaganda politik untuk mengurangkan jumlah kemasukan pelajar Malaysia ke Universiti tersebut.

Syarat tersebut juga sebenarnya dilihat amat tidak relevan memandangkan peperiksaan STAM yang diambil oleh pelajar tingkatan enam di sekolah-sekolah sudah pun menyamai Syahadah Thanawiyyah yang juga merupakan syarat kelayakan untuk memasuki universiti terulung itu.

Walaupun syarat ini pada zahirnya dikuatkuasakan oleh Universiti Al-Azhar tetapi seolah-olah wujud pihak ketiga yang menggunakan nama Universiti untuk menyekat pelajar-pelajar Malaysia daripada belajar di sana.

Kenyataan terbaru Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Khalid Nordin bahawa pelajar mengambil masa terlalu lama untuk menghabiskan pengajian di sana dilihat bukan satu alasan untuk meletakkan syarat baru sebagai syarat kemasukkan ke Universiti Al-Azhar.

Kelemahan dalam Bahasa Arab tidak boleh dijadikan satu isu kerana kelemahan tersebut sebenarnya dibawa oleh pelajar daripada peringkat sekolah rendah hinggalah menengah sejak di Malaysia lagi. Jadi kelemahan tersebut adalah berpunca daripada sistem pendidikan di sini bukannya ketika mereka melanjutkan pelajaran di Mesir bahkan kelemahan tersebut hakikatnya dapat diatasi dengan lebih baik sekiranya lebih ramai pelajar dihantar ke Universiti al-Azhar untuk mendalami Bahasa Arab dan memperbaiki sistem pengajian bahasa Arab di sini.

Alasan bahawa pelajar mengambil masa yang lama untuk lulus juga amat tidak dapat diterima untuk meletakkan syarat itu. Ini disebabkan kelemahan bahasa Arab dan bukan penyebabnya tetapi keadaan sistem pengajiannya amat berbeza dengan apa yang didapati di tanah air. Lebih-lebih lagi kita melihat keadaan itu sudah pun bertambah baik sejak akhir-akhir ini atas usaha pihak persatuan-persatuan negeri yang menolong pihak pelajar dengan mengadakan kelas-kelas tambahan dan sebagainya.

Oleh itu, ILMAM sekali lagi mendesak agar pihak kerajaan mengkaji hal ini dan berbincang dengan pihak Universiti tanpa melibatkan kepentingan politik demi melihat lebih ramai graduan agama al-Azhar dapat menyebarkan sinar Islam di tanah air.

Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)

01 Jamadil Awal 1432 H @ 05 April 2011
"

Sunday, April 3, 2011

'Wajib duduki ujian bahasa Arab'

Universiti Al-Azhar perkenal syarat baru sebelum layak terus pengajian

KUALA LUMPUR: Pelajar yang ingin mengikuti bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir diwajibkan menduduki peperiksaan kelayakan bahasa Arab oleh universiti berkenaan, mulai tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata hasil peperiksaan itu, calon cemerlang akan terus ditawarkan tempat ke universiti berkenaan, manakala calon dengan pencapaian sederhana akan diminta mengikuti kelas Bahasa Arab selama tiga bulan di Pusat Bahasa Arab universiti itu sebelum ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian.

“Calon lemah pula akan diminta mengikuti kelas persediaan Bahasa Arab di Kolej (Maahad) Bahasa Arab Universiti Al-Azhar di Malaysia yang akan ditubuhkan dan kelas terbabit akan dikendalikan tenaga pengajar dari universiti berkenaan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini semalam.

Katanya, perkembangan itu dimaklumkan Syeikh Al-Azhar, Dr Ahmad Mohamed El-Tayeb ketika mereka bertemu dalam lawatan kerja rasminya ke Mesir pada 16 hingga 20 Mac lalu untuk membincangkan perkara berkaitan kepentingan pelajar Malaysia yang akan dan sedang menuntut di Universiti Al-Azhar.

Bagi mengatasi masalah ramai pelajar negara ini yang gagal menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, beliau berkata, universiti itu akan mengenal pasti jumlah mereka serta puncanya dan jika ia akibat kelemahan pelajar menguasai Bahasa Arab, mereka akan dimasukkan ke Pusat Bahasa Arab di Kaherah.

“Sekiranya kegagalan mereka itu berpunca daripada kesukaran memahami pengajian ketika kuliah berikutan kekangan bahasa, universiti akan mewujudkan kelas berbayar untuk mereka,” katanya sambil menambah kini ada 11,319 pelajar Malaysia mengikuti pengajian di beberapa universiti di Mesir, iaitu perubatan, pergigian dan farmasi (5,184) dan pelbagai bidang berkaitan pengajian Islam (6,135).

Dalam lawatan berkenaan, beliau turut bertemu Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Mesir, Dr Amr Ezzat Salam dengan kedua-dua pihak mengulangi komitmen serta persetujuan untuk mematuhi dan menggunapakai semua perkara dalam memorandum persefahaman ditandatangani sebelum ini.

Katanya, kementerian juga akan membuat penilaian semula ke atas beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di Mesir, termasuk Universiti Mansurah, Universiti Tanta dan Universiti Zagazig bagi memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran kondusif serta sempurna selain sentiasa mengamalkan kualiti pengajian tinggi sewajarnya.

Pertemuan bersama pelajar Mesir

ILAMA Pahang sempat mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Mesir yang pulang kerana keadaan gawat di Mesir tempohari..


ANtara yang hadir...

Muslimat...

Thursday, March 10, 2011

ILMAM Hargai Sumbangan dan Khidmat Semua Kerajaan Negeri

ILMAM Hargai Sumbangan dan Khidmat Semua Kerajaan Negeri

Segala puji-pujian dan rasa syukur kepada Allah taala, dengan Kehendak dan Inayah-Nya, telah memudahkan urusan pergi balik terhadap pelajar yang menuntut di Mesir, samada dalam bidang agama ataupun perubatan.

Isu pergolakan krisis politik di Negara Republic Mesir baru-baru ini, telah mendesak dan memaksa semua kerajaan sedunia membawa pulang warga negara masing-masing kembali ke negara masing-masing, tidak ketinggalan Negara Malaysia yang membawa pulang lebih 7 ribu pelajar Malaysia yang menyaksikan pelbagai adegan dan ragam yang ditunjukkan samada di kalangan pelajar sendiri, keluarga pelajar ataupun yang menyambut pelajar tersebut di KLIA.

Kini, musim peperiksaan di Universiti al-Azhar mahupun perubatan hampir tiba, yang mewajibkan pelajar yang dibawa pulang ke Malaysia baru-baru ini kembali ke Mesir semula, untuk mengambil bahagian dalam peperiksaan tersebut.

Maka, alhamdulillah, syukur kepada Allah taala, yang memudahkan kembali urusan pelajar tersebut kembali ke Mesir untuk meneruskan dan menamatkan pengajian mereka, dengan terlaksananya pemergiannya mereka dengan segala kos kewangan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri masing-masing.

Sekalung penghargaan buat kerajaan negeri di seluruh Malaysia daripada Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia di atas khidmat dan tanggungjawab serta sumbangan yang telah diberikan oleh kerajaan negeri masing-masing dalam usaha menghantar kembali pelajar ke Mesir. Mudah-mudahan, segala usaha dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan mendapat perhatian dan bimbingan daripada Allah taala.

Kepada pelajar yang telah kembali dan akan kembali ke Mesir, kami pihak ILMAM Malaysia mendoakan agar segala urusan kalian semua sesampai di sana akan dipermudahkan oleh Allah taala. Fasiiruu 'ala Barakatillah...

Wassalam.

Ust Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia.

Thursday, February 17, 2011

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL 1432 H


Tafakur Sejenak Memperingati Maulidur Rasul

Muqaddimah

Rasulullah saw sebagai penghulu kepada semua Rasul alahimussolatu wassalam serta rasul untuk seluruh generasi akhir zaman ini datang dengan risalah Islam yang menyeluruh sebagai rahmat kepada sekalian alam. Kelahiran baginda saw menggembirakan seluruh alam dan risalah baginda saw membahagiakan semua manusia. Oleh itu, wajarlah kita memperingati kelahiran Baginda saw dengan mengambil Sunnah dan ajarannya sebagai Teras serta Dasar kehidupan.

Sejarah Sambutan Maulidur Rasul

Ada beberapa riwayat berkenaan permulaan sambutan Maulidur Rasul ini iaitu:

a- Riwayat Pertama: Selepas Solahuddin al-Ayubi dan tenteranya berjaya merampas Masjid al-Aqsa dari Yahudi dalam peperangan al-Hittin. Disambut sebagai pengisian kemenangan agar tidak lalai dengan kejayaan dan kemenangan.

b- Riwayat Kedua: Ketika persiapan orang Islam menghadapi tentera Tartar (Monggol) di bawah pimpinan Sultan Mahmud Qutuz dan Zahir Bebers di Mesir sehingga berjaya di Ain Jalut dan ramai Tentera Tartar memeluk Islam.

Adapun semata-mata meraikan kelahiran Rasulullah saw, peristiwa ini turut diraikan dan dianjurkan oleh Abu Lahab, iaitu dengan memerdekakan hambanya dan menyembelih korba beberapa ekor untanya untuk menggambarkan kegembiraannya. Tetapi setelah diajak untuk bersama dengan Islam, Abu Lahab menolak bahkan menentang ajaran anak saudaranya sekeras-kerasnya.

Sambutan yang dilakukan adalah sepatutnya mengikut cara yang dilakukan oleh Solahuddin al-Ayubi dengan cara mengisi kemenangan atau melahirkan semangat untuk memperjuangkan dan beramal dengan Islam, bukan seperti cara Abu Lahab yang hanya meraikan kelahiran Nabi saw. Sambutan Maulidur Rasul boleh diadakan tetapi dengan cara yang tidak bercanggah dengan tatacara Islam dan boleh mendatangkan kecintaan kepada Rasulullah saw.

Tugas Kedatangan Rasulullah saw

Firman Allah taala di dalam Surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: "Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata."

Berdasarkan kepada ayat di atas, Rasulullah saw diutuskan adalah untuk:

a- Membacakan kepada manusia ayat-ayat Allah, iaitu mengajak atau berdakwah kepada Ketaqwaan, beribadat dan taat kepada Allah menurut apa yang diserukan oleh Rasul-Nya.

b- Membersihkan mereka, iaitu tazkiyah dan ta'dib. Membersihkan hati manusia dari karat-karat dosa dan maksiat serta mengumpulkan dalam hati mereka dengan akhlak yang mulia.

c- Mengajar manusia itu dengan Kitab, iaitu al-Quran al-Karim dan hikmah, iaitu Sunnah Nabi saw dengan mengutamakan pembangunan dari segi Ruhiyyah, Thaqafah dan Material.

Kecintaan Rasulullah saw Terhadap Umatnya

Firman Allah taala di dalam Surah at-Taubah ayat 128 yang bermaksud: "Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaum mu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi Penyayang terhadap orang-orang mukmin."

Dalam ayat di atas, Allah taala menerangkan bahawa kesemua sifat Rasulullah itu dengan mengaitkannya dengan orang yang dihadapkan percakapan iaitu kamu. Ini menandakan betapa perihatinnya Rasulullah saw kepada setiap saat kepada umatnya. Oleh itu umat Muhammad saw hendaklah membalas kecintaan kepada Baginda saw lebih dari segalanya.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Tidak sempurna Iman seseorang kamu sehingga Allah dan RasulNya menjadi terlebih cinta kepadanya dari ibubapanya, anaknya dan semua manusia keseluruhannya."

Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: "Tiga perkara yang akan mendatangkan kemanisan Iman: Apabila Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya..."

Antara tanda kecintaan kita kepada Baginda saw ialah:

a- Melaksanakan segala arahan Baginda saw
b- Cintakan Sunnah-sunnah saw
c- Memelihara nama dan maruah Baginda saw dari dicemari oleh orang-orang yang jahil
d- Bersolawat ke atas Baginda saw ketika disebut nama Baginda saw
e- Menziarahi Baginda saw ketika berada di Tanah Suci

Sifat Orang Yang Mencintai Rasulullah saw

Firman Allah taala di dalam Surah al-Fath, ayat 29 yang bermaksud: "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, yaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya. Maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya karena Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar."

Sifat-sifat itu ialah:

a- Kuat dan hebat serta tegas di mata orang bukan Islam
b- Lemah-lembut dan penyayang di kalangan saudara Islam
c- Senantiasa ruku' dan sujud mencari keredhaan Allah taala
d- Senantiasa beramal dan bekerja keras untuk mencari kurniaan Allah
e- Tanda sujud kelihatan di wajah mereka.

Tugas Kita Selepas Baginda saw

a- Tetap beristiqamah atas jalan yang Baginda saw tunjukkan kepada kita dan tidak belok dari jalan itu. Firman Allah taala di dalam Surah al-Imran ayat 144 yang bermaksud: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."

b- Menjadikan Baginda saw sebagai role model dalam setiap aspek kehidupan kita seharian. Firman Allah taala di dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."

Rasulullah saw adalah contoh kepada setiap bapa, ketua keluarga, suami, para hakim, para muhasib, para pendakwah, pemimpin tentera, masyarakat dan negara, yang merupakan contoh untuk setiap kategori dari Rasulullah saw.

Kesimpulan

Memperingati Maulidur Rasul bukan setakat dengan meraikan dan menganjurkan pelbagai majlis perarakan dan berzanji, baik di peringkat Kerajaan, Jabatan, Sekolah, Masjid dan Surau serta di rumah yang tertentu.

Sesungguhnya memperingati Maulidur Rasul lebih beerti jika kita semua kembali kepada hidayah dan panduan yang dibawa oleh Baginda saw secara keseluruhannya. Gunakanlah kesempatan dan peluang sempena hari kebesaran Islam ini sebaik mungkin untuk menyedarkan masyarakat kepada Islam yang sebenar dari Rasulullah saw.

Akhirnya, saya mewakili kepimpinan Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia, mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada semua ahli ILMAM dan seterusnya semua muslimin dan muslimat. Mudah-mudahan sambutan tersebut memangkinkan lagi keupayaan dan keperihatinan kita terhadap perjuangan Nabi Muhammad saw, dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam di dunia ini.

Wassalam

Ust Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia

Monday, January 31, 2011

Jemputan ke Majlis Perkahwinan Pengerusi ILMAM Pahang



aSSALAMUALAikUm...
- kepada sesiapa yang mengenali, jemputlah ke majlis walimah ana...
- 225 (F) Sungai Pancing Utara, 26250 Kuantan, Pahang.
- 12 FEBUARI 2011