Tuesday, April 5, 2011

ILMAM Menuntut Syarat Baru Untuk Ke Universiti AL-Azhar Dihapuskan

"logo ilmam3Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) berpandangan bahawa syarat baru yang didakwa dikenakan oleh universiti Al-Azhar sebagai satu propaganda politik untuk mengurangkan jumlah kemasukan pelajar Malaysia ke Universiti tersebut.

Syarat tersebut juga sebenarnya dilihat amat tidak relevan memandangkan peperiksaan STAM yang diambil oleh pelajar tingkatan enam di sekolah-sekolah sudah pun menyamai Syahadah Thanawiyyah yang juga merupakan syarat kelayakan untuk memasuki universiti terulung itu.

Walaupun syarat ini pada zahirnya dikuatkuasakan oleh Universiti Al-Azhar tetapi seolah-olah wujud pihak ketiga yang menggunakan nama Universiti untuk menyekat pelajar-pelajar Malaysia daripada belajar di sana.

Kenyataan terbaru Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Khalid Nordin bahawa pelajar mengambil masa terlalu lama untuk menghabiskan pengajian di sana dilihat bukan satu alasan untuk meletakkan syarat baru sebagai syarat kemasukkan ke Universiti Al-Azhar.

Kelemahan dalam Bahasa Arab tidak boleh dijadikan satu isu kerana kelemahan tersebut sebenarnya dibawa oleh pelajar daripada peringkat sekolah rendah hinggalah menengah sejak di Malaysia lagi. Jadi kelemahan tersebut adalah berpunca daripada sistem pendidikan di sini bukannya ketika mereka melanjutkan pelajaran di Mesir bahkan kelemahan tersebut hakikatnya dapat diatasi dengan lebih baik sekiranya lebih ramai pelajar dihantar ke Universiti al-Azhar untuk mendalami Bahasa Arab dan memperbaiki sistem pengajian bahasa Arab di sini.

Alasan bahawa pelajar mengambil masa yang lama untuk lulus juga amat tidak dapat diterima untuk meletakkan syarat itu. Ini disebabkan kelemahan bahasa Arab dan bukan penyebabnya tetapi keadaan sistem pengajiannya amat berbeza dengan apa yang didapati di tanah air. Lebih-lebih lagi kita melihat keadaan itu sudah pun bertambah baik sejak akhir-akhir ini atas usaha pihak persatuan-persatuan negeri yang menolong pihak pelajar dengan mengadakan kelas-kelas tambahan dan sebagainya.

Oleh itu, ILMAM sekali lagi mendesak agar pihak kerajaan mengkaji hal ini dan berbincang dengan pihak Universiti tanpa melibatkan kepentingan politik demi melihat lebih ramai graduan agama al-Azhar dapat menyebarkan sinar Islam di tanah air.

Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)

01 Jamadil Awal 1432 H @ 05 April 2011
"

Sunday, April 3, 2011

'Wajib duduki ujian bahasa Arab'

Universiti Al-Azhar perkenal syarat baru sebelum layak terus pengajian

KUALA LUMPUR: Pelajar yang ingin mengikuti bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir diwajibkan menduduki peperiksaan kelayakan bahasa Arab oleh universiti berkenaan, mulai tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata hasil peperiksaan itu, calon cemerlang akan terus ditawarkan tempat ke universiti berkenaan, manakala calon dengan pencapaian sederhana akan diminta mengikuti kelas Bahasa Arab selama tiga bulan di Pusat Bahasa Arab universiti itu sebelum ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian.

“Calon lemah pula akan diminta mengikuti kelas persediaan Bahasa Arab di Kolej (Maahad) Bahasa Arab Universiti Al-Azhar di Malaysia yang akan ditubuhkan dan kelas terbabit akan dikendalikan tenaga pengajar dari universiti berkenaan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini semalam.

Katanya, perkembangan itu dimaklumkan Syeikh Al-Azhar, Dr Ahmad Mohamed El-Tayeb ketika mereka bertemu dalam lawatan kerja rasminya ke Mesir pada 16 hingga 20 Mac lalu untuk membincangkan perkara berkaitan kepentingan pelajar Malaysia yang akan dan sedang menuntut di Universiti Al-Azhar.

Bagi mengatasi masalah ramai pelajar negara ini yang gagal menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, beliau berkata, universiti itu akan mengenal pasti jumlah mereka serta puncanya dan jika ia akibat kelemahan pelajar menguasai Bahasa Arab, mereka akan dimasukkan ke Pusat Bahasa Arab di Kaherah.

“Sekiranya kegagalan mereka itu berpunca daripada kesukaran memahami pengajian ketika kuliah berikutan kekangan bahasa, universiti akan mewujudkan kelas berbayar untuk mereka,” katanya sambil menambah kini ada 11,319 pelajar Malaysia mengikuti pengajian di beberapa universiti di Mesir, iaitu perubatan, pergigian dan farmasi (5,184) dan pelbagai bidang berkaitan pengajian Islam (6,135).

Dalam lawatan berkenaan, beliau turut bertemu Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Mesir, Dr Amr Ezzat Salam dengan kedua-dua pihak mengulangi komitmen serta persetujuan untuk mematuhi dan menggunapakai semua perkara dalam memorandum persefahaman ditandatangani sebelum ini.

Katanya, kementerian juga akan membuat penilaian semula ke atas beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di Mesir, termasuk Universiti Mansurah, Universiti Tanta dan Universiti Zagazig bagi memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran kondusif serta sempurna selain sentiasa mengamalkan kualiti pengajian tinggi sewajarnya.

Pertemuan bersama pelajar Mesir

ILAMA Pahang sempat mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Mesir yang pulang kerana keadaan gawat di Mesir tempohari..


ANtara yang hadir...

Muslimat...